Penguat kuasa menyita kerusi dan meja premis ketika operasi bersepadu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bertujuan membanteras penjaja dan peniaga tanpa kebenaran di Seksyen U20, Bandar Baru Sungai Buloh, Shah Alam pada 12 Ogos 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Kakitangan PBT terlibat rasuah, salah guna kuasa berdepan tindakan

SHAH ALAM, 12 OGOS: Kerajaan Negeri tidak teragak-agak mengenakan tindakan tegas terhadap kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit rasuah dan salah guna kuasa.

EXCO Kerajaan Tempatan, Ng Sze Han berkata pihaknya tidak akan berkompromi dan melindungi individu melakukan kesalahan tersebut.

“Kerajaan Selangor mengamalkan pentadbiran berlandaskan ketelusan dan mengutamakan integriti.

“Semua kakitangan PBT dinasihatkan menjalankan tugas dengan telus dan menjauhi diri daripada kegiatan rasuah serta penyalahgunaan kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sze Han menambah pihaknya yakin PBT melaksanakan tugas dengan baik demi rakyat dan negeri serta mengalu-alukan maklumat awam menerusi saluran betul jika berlaku kesalahan terbabit.

Hari ini, Mahkamah Majistret Putrajaya memerintah empat pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) direman tujuh hari susulan siasatan kes menerima dan mengutip rasuah bagi melindungi premis perniagaan haram di Sungai Buloh.


Pengarang :