ADN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli menunjukkan pin merdeka ketika sidang media Kempen Malaysiaku – membeli pin merdeka sambil menyumbang kepada Tabung Persatuan Veteran ATM Kuala Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 26 Ogos 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Kempen ‘Malaysiaku’ sasar RM10,000 bantu veteran ATM

SHAH ALAM, 26 OGOS: Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati menyasarkan kutipan RM10,000 menerusi kempen ‘Malaysiaku’ untuk membantu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ahli Dewan Negerinya berkata program dengan dengan kerjasama Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Kuala Selangor menyasarkan bekas tentera yang berstatus orang kelainan upaya (OKU) serta bantuan bencana alam, kebakaran rumah dan kerusi roda.

“Menerusi kempen ini kita menjual 1,000 unit Pin Merdeka yang berharga RM10 seunit dan seluruh kutipan ini akan disalurkan terus ke Tabung PVATM cawangan Kuala Selangor.

“Selain mengumpul dana, objektif kempen ini antara lain meningkatkan kesedaran rakyat mengenai pengorbanan veteran tentera dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan generasi muda tentang pengorbanan dilakukan golongan tersebut mempertahan negara,” kata Juwairiya Zulkifli pada sidang media hari ini.

Beliau berharap masyarakat di Selangor khususnya di Kuala Selangor dapat bersama menyokong dan menjayakan kempen tersebut dengan menghubungi Pejabat DUN Bukit Melawati di talian 03-32814233.


Pengarang :