Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ganabatirau Veraman membuat lawatan ke kelas jahitan dan masakan selepas merasmikan Pusat Aktiviti Komuniti Berdaya (PAKB) Majlis Perbandaran Subang Jaya di Kompleks 3C MPSJ, Subang Jaya pada 11 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Kerajaan Negeri peruntuk RM300,000 jayakan program berdaya rakyat

SUBANG JAYA, 11 OGOS: Kerajaan Selangor memperuntukkan RM300,000 untuk menganjurkan program memberdaya rakyat terutama golongan berpendapatan rendah (B40).

EXCO pembangunan sosio ekonomi berkata dana disalur melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pejabat tanah dan daerah (PTD) bagi menjayakan aktiviti bermanfaat kepada masyarakat.

“Program komuniti membantu Kerajaan Selangor capai sasaran tingkatkan sosioekonomi sekali gus menjadi asas kepada rakyat menjana pendapatan.

“Saya seru semua PBT atau PTD rancang program memberi pulangan positif kepada rakyat. Hubungan akrab agensi dengan Kerajaan Negeri akan memudahkan urusan semua,” kata V Ganabatirau selepas merasmikan Pusat Aktiviti Komuniti Berdaya (PAKB) Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di sini hari ini.

PAKB dilancarkan awal tahun ini melatih golongan B40, orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal atau peniaga industri kecil sederhana sekitar Subang Jaya dalam bidang masakan serta jahitan sebelum bergelar usahawan.

Sementara itu, Ganabatirau berkata hampir RM80,000 disumbangkan kepada pusat terbabit bagi menyediakan peralatan latihan dalam usaha memberi kemahiran kepada pesertanya.

“Pendedahan ini membolehkan individu terbabit memulakan perniagaan. Mereka juga boleh memohon bantuan modal permulaan sama ada melalui pinjaman Hijrah (Yayasan Hijrah Selangor) atau blueprint (program Blueprint Pembasmian Kemiskinan) disediakan,” katanya.


Pengarang :