AGENDANASIONAL

KPDNHEP rampas hampir 2,000 beg tangan tiruan berjenama

PUTRAJAYA, 21 OGOS: Sejumlah 1,754 unit beg tangan tiruan pelbagai jenama seperti Gucci, LV, YSL dan Chanel bernilai RM140,320 dirampas dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Cheras, Kuala Lumpur yang disyaki menjadi stor simpanan barangan tiruan pada Rabu lepas.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata serbuan penguat kuasa KPDNHEP bersama wakil pemilik cap dagang Global Trade Shield (GTS) dilakukan hasil risikan selama dua minggu mengenai tempat simpanan barangan tiruan.

Setibanya di tempat serbuan, katanya jeriji besi rumah tersebut berkunci namun dengan bantuan pihak pengurusan kondominium, pihaknya telah memecah mangga jeriji berkenaan dan pemeriksaan di rumah dengan keluasan 900 kaki persegi itu didapati dipenuhi dengan barang-barang yang disyaki tiruan.

Iskandar Halim dalam satu kenyataan hari ini berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

“Bahagian risikan telah kenal pasti suspek dan akan mengesan mereka dalam masa terdekat. Siasatan lanjut secara terperinci juga akan dibuat termasuk mengesan pemilik premis atau penyewa premis tersebut untuk dipertuduhkan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :