Penghantar barangan dalam talian aplikasi “Seldec Rider” mengangkat beg barangan mereka selepas selesai sesi sidang media Pelancaran Web Portal SELDEC (Selangor Digital e-Supply Chain) & Sistem Aplikasi “Seldec Rider” di Bangunan SUK Selangor, Shah Alam pada 24 Jun 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Kumpulan pertama RiDE dipilih September ini

SHAH ALAM, 16 OGOS: Kumpulan pertama yang layak menerima inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) bakal dipilih September ini, kata EXCO pembangunan generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata seramai 500 peserta dipilih berdasar kelayakan dan mereka bakal menerima sijil dan sumbangan daripada Kerajaan Negeri.

“Sambutan amat memberangsangkan dari hari ke hari permohonan RiDE sentiasa meningkat. Kita sasar bulan depan (September) kira-kira 500 peserta dipilih bagi kumpulan pertama,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata sehingga kini permohonan RiDE sudah mencecah 15,000 sejak dibuka pada 1 Ogos. Anak muda berusia bawah 30 tahun yang berminat masih boleh memohon inisiatif itu menerusi pautan http://msnselangor.gov.my.

RiDE menyasarkan 3,000 belia miskin bandar mendapat lesen motosikal B2 dan menerima latihan khusus, selain membuka peluang pekerjaan dengan kerjasama syarikat e-panggilan.

Belanjawan 2020 memperuntukkan dana awal RM1 juta bagi pelaksanaan inisiatif itu dan ditambah RM1 juta lagi melalui Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor 2020 pada 13 Julai lalu.


Pengarang :