Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad meninggal dunia pada usia 83 tahun pada 16 Ogos 2020.
AGENDANASIONAL

Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad meninggal dunia pada usia 83 tahun

SHAH ALAM, 16 OGOS: Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad meninggal dunia pagi tadi pada usia 83 tahun akibat sakit tua, di kediamannya di Taman Ampang Utama, Ampang dekat sini.

Universiti itu dalam kenyataan hari ini berkata Allahyarham disahkan meninggal dunia kira-kira 10.45 pagi tadi.

Jenazah akan disolatkan di Masjid Jamiul-Huda, Jalan Pinang, Kampung Melayu, Ampang, sebelum dikebumikan di Kampung Air Limau, Melaka.

Allahyarham dilantik sebagai Pro-Canselor UiTM pada 15 Dis 2002 dan meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Noor Hayati Mohamed.

Selain Abdul Rahman, lima lagi Pro-Canselor universiti itu ialah Tun Ahmadshah Abdullah, Tan Sri Dr Arshad Ayub, Tan Sri Dr Sallehuddin Mohamed, Tan Sri Safri Awang Zaidell dan Tan Sri Zarinah Anwar.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim dalam kenyataannya menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Dukacita dimaklumkan bahawa Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr Abdul Rahman Arshad, Pro-Canselor UiTM telah kembali ke rahmatullah pada 16 Ogos 2020.

“Seluruh warga UiTM merakamkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham dan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman serta beramal soleh,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :