Pengusaha pakaian terpakai atau bundle Che Anis Farahin Che Omar, 25, menunjukkan sebahagian pakaian bundle wanita ketika ditemui Bernama di kedai miliknya di Kampung Teluk Kintang, Jalan Sabak di Kota Bharu, Kelantan. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Minat ‘bundle’ lonjak jadi usahawan berjaya, tembusi pasaran global

KOTA BHARU, 16 OGOS: Minat mendalam terhadap pakaian bundle atau terpakai mendorong wanita muda ini menceburi perniagaan itu, dan tidak sampai dua tahun, perniagaan pakaian terpakai berjenama yang bermula dengan modal RM50 tersebut berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Che Anis Farahin Che Omar, 25, berkata minatnya terhadap pakaian terpakai bermula sejak di bangku sekolah dengan hampir kesemua pakaian yang dipakainya adalah pakaian bundle.

“Saya mengusahakan perniagaan ini bersama suami, Ahmad Afiqq Asmadi, 27, pada 2018 secara dalam talian atas nama Rumah Bundle.

“Kami membekalkan pakaian vintaj melalui platform Grailed dan Etsy yang khusus untuk pakaian era tersebut dan mendapat sambutan memuaskan termasuk dari luar negara seperti Singapura, Amerika Syarikat dan Jepun,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Teluk Kintang, Jalan Sabak baru-baru ini.

Menurut lulusan Diploma Pengurusan Perniagaan daripada Politeknik Kota Bharu itu, beliau mengaplikasikan ilmu yang ditimba semasa pengajian untuk menjalankan perniagaannya.

“Boleh dikatakan lebih 80 peratus yang dipelajari dalam bidang ini membantu saya terus berjaya dalam perniagaan, malah saya turut didedahkan cara berniaga dalam talian serta membuat iklan di laman sosial seperti Facebook dan juga Instagram,” kata ibu kepada seorang anak berusia dua tahun itu.

Menurutnya beliau memperoleh bekalan dari dalam dan luar negara, khususnya Thailand.

“Kebiasaannya, baju yang diperoleh akan dijual kepada pelanggan bermula harga serendah RM10 sehingga RM150 bergantung kepada kondisi dan juga jenama baju berkenaaan,” katanya.

Che Anis Farahin berkata susulan sambutan memuaskan itu, beliau membuka sebuah kedai atas nama Rumah Bundle yang kini menjadi tumpuan peminat pakaian terpakai berjenama selain turut membekalkan pakaian terpakai secara pukal ke luar negara.

“Saya tidak pernah sesekali menyangka perniagaan pakaian terpakai ini mampu memberi hasil pulangan yang lumayan, malah dapat menyamai pendapatan ‘orang makan gaji’.

“Justeru, saya sarankan siswazah yang masih menganggur agar menceburi bidang perniagaan dengan memanfaatkan platform media sosial kerana modal yang diperlukan tidak besar,” katanya yang kini meraih hasil jualan puluhan ribu ringgit sebulan.

-BERNAMA


Pengarang :