(Gambar hiasan) Kerajaan Selangor menyediakan insentif bagi meringankan beban kewangan pesakit tibi. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PM umum PKP Pemulihan dilanjut hingga 31 Disember

SHAH ALAM, 28 OGOS: Kerajaan memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.

Perkara tersebut diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas malam ini yang disiarkan di stesen televisyen tempatan serta rangkaian media sosial.

“Ini bagi memastikan semua pihak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan protokol kesihatan yang ditetapkan,” katanya menegaskan lanjutan PKPP  masih membolehkan tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342.

Kerajaan melaksanakan PKP bermula 18 Mac lalu bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Arahan tersebut dilonggarkan pada 4 Mei dengan mengumumkan PKP Bersyarat dan kemudian beralih ke PKPP bermula 10 Jun lalu.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mengesyorkan PKPP yang tamat pada 31 Ogos dilanjutkan sehingga jangkitan Covid-19 di negara ini terkawal.

Sementara itu, Muhyiddin berkata kerajaan akan melaksana pendekatan bersasar jika berlaku peningkatan kes jangkitan di lokaliti tertentu.

“Negara kita masih berhadapan cabaran getir dalam menangani penularan wabak Covid-19, mengambil kira virus ini masih menular secara aktif di seluruh dunia pada skala besar.

“Risiko ini perlu ditangani segera dan dikawal dengan tindakan tegas dan tangkas sebelum ia merebak dengan lebih meluas,” katanya.

 


Pengarang :