AGENDASUKANKINI

Red Giants tingkat kecergasan pemain sebelum liga bersambung

SHAH ALAM, 17 OGOS: Selangor fokus menambah baik kecergasan dan persefahaman antara pemain sebelum liga bersambung semula pada 26 Ogos ini.

Jurulatih B Sathianathan berkata walaupun pasukannya menang dalam tiga perlawanan persahabatan, banyak perkara perlu diperbaiki segera bagi mengelak kesilapan mudah berulang.

“Kita tidak boleh berpuas hati kerana ia hanya perlawanan persahabatan. Kelemahan memang ada daripada segi pertahanan dan hantaran bola.

B Sathianathan ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan bagi persiapan menghadapi Liga Malaysia di Padang SUK Shah Alam pada 27 Julai 2020. Foto BERNAMA

“Persefahaman antara pemain juga perlu ditambah baik termasuk kecergasan mereka yang belum mencapai 100 peratus,” katanya ketika dihubungi.

Selangor, yang terkenal dengan jolokan Red Giants melakar kemenangan selesa dalam tiga perlawanan persahabatan menewaskan UKM FC (3-0), Negeri Sembilan (0-3) dan Terengganu FC (2-0).

Sathianathan berkata pasukannya akan beraksi dalam satu lagi perlawanan persahabatan menentang Kuala Lumpur pada 19 Ogos ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan pemain import dari Nigeria, Ifedayo Olusegun akan menyertai latihan pasukan selepas selesai kuarantin wajib minggu hadapan.

Selangor dijadual bertemu PJ City FC dalam aksi CIMB Liga Super di Stadium UiTM Shah Alam pada 27 Ogos ini.


Pengarang :