SELANGOR

Air pasang besar: Penduduk diminta patuh arahan pihak berkuasa

SHAH ALAM, 17 SEPT: Penduduk di kawasan berisiko fenomena air pasang besar diminta bersiap sedia untuk berpindah jika berlaku situasi luar jangka, kata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.

Penolong Pengarah Operasinya Hafisham Mohd Noor berkata mereka juga perlu mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa dan memberi kerjasama sekiranya diarah berpindah.

“Pihak unit pengurusan bencana negeri sudah memaklumkan kepada masyarakat berhubung jangkaan fenomena air pasang yang akan melanda beberapa daerah di negeri ini.

“Oleh itu, mereka perlu bersedia dan menyediakan segala keperluan penting yang perlu dibawa ke pusat pemindahan jika berlaku banjir,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata pihaknya melakukan rondaan secara kerap di kawasan tambakan ban bagi memastikan struktur benteng kukuh dan tidak pecah yang boleh menyebabkan banjir jika ketinggian air pasang melebihi had.

Bagaimanapun, Hafisham yakin pihaknya mampu mengendalikan fenomena berkenaan memandangkan ban dibina Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melebihi paras ketinggian jangkaan air pasang.

“Ban yang ada sekarang ini setinggi enam meter (m) tetapi paras air dijangka berada pada tahap maksimum iaitu antara 5.6 sehingga 5.8m, jadi ia dapat menampung (air pasang).

“Cuma perkara paling merisaukan kita adalah jika terdapat ban pecah namun kita akan teruskan pemantauan untuk melihat sama ada lokasi tersebut berada dalam keadaan baik atau sebaliknya,” tambahnya.

Unit Pengurusan Bencana Negeri menjangka Selangor mengalami fenomena air pasang besar membabitkan lima daerah iaitu Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Kejadian itu berlaku antara jam 5 hingga 8 pagi pada 19 dan 20 September, 17 hingga 19 Oktober serta 15 dan 16 November.


Pengarang :