Barisan pemain badminton negara mendengar amanat yang di sampaikan oleh Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

BAM digesa perbanyak anjur kejohanan tertutup

SHAH ALAM, 18 SEPT: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) diharap memperbanyakkan lagi kejohanan badminton tertutup, agar motivasi dan kecergasan pemain kebangsaan dapat kekal tinggi.

Pemain beregu campuran negara Chan Peng Soon berkata, ia penting berikutan penundaan saingan Piala Thomas/Uber 2020 dan kebanyakan kejohanan badminton antarabangsa yang lain.

“Saya harap BAM akan perbanyakkan lagi kejohanan badminton tempatan, bagi mengekalkan motivasi pemain, kerana sebagai pemain badminton saingan Piala Thomas/Uber adalah sasaran kita,” katanya dalam sidang media majlis memperkenalkan pelitup muka tiga lapis jenama Chan.Ger keluarannya.

Tambah beregu campuran nombor tujuh dunia itu, beliau dan pasangannya kini sedang menunggu lampu hijau daripada kerajaan bagi menyertai kejohanan Jelajah Asia di Thailand yang dijangka berlangsung November depan.

“Jika kerajaan benarkan atlet keluar negara untuk menyertai kejohanan antarabangsa, saya akan sertai kejohanan di Thailand,” katanya.

Persatuan Badminton Thailand (BAT) dilaporkan, menawarkan diri bagi menganjurkan tiga kejohanan dalam kalendar Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF), termasuk Jelajah Dunia Akhir.

Sementara itu mengulas mengenai produk keluarannya, Chan berkata 10 peratus daripada keuntungan penjualan pelitup muka berkenaan, akan disalurkan bagi pembangunan bakat baharu sukan badminton.

“Misi kami adalah untuk memperkenalkan produk terbaik, namun saya memahami kesukaran bagi mereka yang berbakat tetapi kurang berkemampuan, oleh itu kami mendermakan sebanyak 10 peratus daripada keuntungan penjualan pelitup muka ini, untuk membiayai projek ‘Support Our Badminton Talent’ agar lebih banyak bakat baharu dapat dicungkil,” katanya.

Pelitup muka keluaran Chan.Ger boleh didapati dalam warna biru, hitam dan merah jambu yang merupakan buatan tempatan.

-BERNAMA


Pengarang :