Orang ramai mengambil bekalan air dari tangki yang disediakan oleh Pengurusan Air Selangor ketika tinjauan di Lorong Raja Muda Abd Aziz, Kuala Lumpur setelah penduduk mengalami gangguan bekalan air pada 5 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bekalan air di tujuh wilayah pulih berperingkat

SHAH ALAM, 5 SEPT: Bekalan air di kawasan terjejas susulan pencemaran Sungai Selangor mula disalurkan secara berperingkat bermula jam 12 tengah hari tadi.

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan pemulihan kumpulan pertama pada 5 hingga 7 September ini membabitkan 667 kawasan atau 51.6 peratus.

“Usaha menstabilkan sistem agihan bekalan air sedang giat dilaksanakan untuk mempercepatkan proses pemulihan bekalan air ke kawasan yang masih terjejas.

“Air Selangor menjangkakan bekalan air akan pulih sepenuhnya pada jam 6 pagi, 9 September 2020,” kata Ketua Komunikasi Korporatnya Elina Baseri.

Pelan pemulihan bekalan air mengikut wilayah seperti berikut:

Elina turut meminta kerjasama orang ramai menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar.

Beliau berkata pengguna boleh terus mendapatkan bekalan air melalui pili awam dan pusat khidmat setempat (PKS) yang beroperasi 24 jam.

“Air Selangor menasihatkan pengguna mematuhi garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan semasa mengambil bekalan air di PKS dan pili awam dengan memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal,” katanya lagi.

Maklumat pemulihan bekalan air tidak berjadual boleh didapati melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

Pengguna juga digalakkan memuat turun aplikasi Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini.

 


Pengarang :