Peniaga menyiapkan tempahan yang dibuat melalui PLATS dan Grab di e-dapur Bandar Utama, Damansara pada 4 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

EXCO: Pelbagai inisiatif bantu peniaga bangkit ketika PKP

SHAH ALAM, 6 SEPT: Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin menyediakan pelbagai inisiatif membantu peniaga bangkit semula susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Usaha meliputi insentif khas penjaja berlesen berjumlah RM40 juta, pengecualian sewa premis (RM12 juta), penangguhan bayaran pinjaman Hijrah (RM70 juta) dan inisiatif pembiayaan tunai ‘Selangor Advance’ bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (RM100 juta).

“Kita turut memperkenal rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) sebagai tempat pemasaran dan jualan dalam talian khususnya untuk usahawan luar bandar,” kata EXCO pembangunan usahawan Rodziah Ismail ketika dihubungi.

“Usaha Kerajaan Negeri tidak setakat ini, sebaliknya kita bekalkan usahawan dengan ilmu melalui kursus atau latihan secara bersemuka dan dalam talian.”

Selangor negeri paling awal mengumumkan bantuan kepada golongan sasar berjumlah RM127.8 juta pada 20 Mac lalu, iaitu hari ketiga pelaksanaan PKP.

Pada 1 April, Kerajaan Negeri mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin fasa kedua berjumlah RM272.5 juta diikuti pelan pemulihan ekonomi negeri jangka sederhana pada 13 Julai dengan keseluruhan nilai ekonomi bernilai RM55.85 bilion.


Pengarang :