Saintis menyediakan sampel semasa penyelidikan dan pembangunan vaksin Covid-19 di makmal bioteknologi BIOCAD di Saint Petersburg, Rusia pada 11 Jun 2020. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Indonesia rancang hasilkan vaksin Covid-19

JAKARTA, 3 SEPT: Presiden Joko Widodo berkata Indonesia merancang untuk mengeluarkan vaksinnya sendiri menjelang pertengahan 2021, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Syarikat tempatan ditugaskan untuk membangunkan vaksin Covid-19 secara usaha sama dan setakat ini perkembangannya sudah mencapai tahap 30 hingga 40 peratus, kata Widodo pada mesyuarat kabinet, Selasa.

Beliau berharap ujian klinikal dapat dimulakan seawal tahun 2021 sebelum pengeluaran secara komersial bermula pertengahan tahun depan.

Di kenali sebagai vaksin Merah Putih, ia sedang dibangunkan oleh Kementerian Penyelidikan dan Teknologi diketuai Institut Molekul Biologi Eijkman.

Sebelum ini, pengarah institut itu, Amin Soebandrio, berkata vaksin dijangka dapat memenuhi sekurang-kurangnya 50 peratus permintaan dalam negara.

Selain membangunkan vaksin antivirus, Indonesia juga sudah menempah 290 juta dos vaksin Covid-19 dan akan dihantar ke negara ini sebelum akhir 2021.

Syarikat biofarmaseutikal China Sinovac Biotech – satu daripada dua pembekal vaksin Covid-19 di Indonesia – bekerjasama rapat dengan negara Asia Tenggara untuk membantu menghasikan vaksin sendiri.

– BERNAMA


Pengarang :