Dato’ Seri Amirudin Shari ditemui selepas Program Penyerahan Pelitup Muka Percuma Kepada Sekolah Daerah Gombak di Dewan Seri Siantan, Batu Caves pada 11 September 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Bantuan Bank Makanan Selangor diagih dalam masa terdekat

BATU CAVES, 11 SEPT: Golongan miskin bandar di negeri ini yang terkesan susulan Covid-19 bakal menerima bantuan program Bank Makanan Selangor dalam tempoh terdekat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kajian pelaksanaan kini di peringkat akhir bagi memastikan bantuan itu memanfaatkan golongan sasar.

“Perincian mengenainya sedang diteliti, kita sedang kumpul formula atau kaedah terbaik bagi memastikan agihan berjalan lancar dan paling penting sampai kepada sasaran.

“Insya-Allah bantuan dapat disalurkan secepat mungkin bagi meringankan beban keluarga yang terjejas sumber pendapatan,” katanya selepas menghadiri Program Penyerahan Pelitup Muka Percuma kepada sekolah daerah Gombak di Dewan Seri Siantan hari ini.

Pada 30 Julai lalu, Amirudin memaklumkan penyusunan semula program Bank Makanan Selangor susulan penularan Covid-19 yang menjejaskan pendapatan rakyat.

Beliau berkata inisiatif tersebut dirancang sejak tahun lalu namun terhenti berikutan Perintah Kawalan Pergerakan dan kini digerakkan kembali secara lebih menyeluruh.

Program membabitkan peruntukan RM5 juta itu menyasarkan 2,000 keluarga miskin bandar yang tinggal di projek perumahan rakyat.


Pengarang :