AGENDANASIONAL

Nilai jualan dagang borong, runcit semakin pulih

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Nilai jualan perdagangan borong dan runcit mencatatkan RM108.7 bilion, semakin pulih daripada -8.4 peratus pada Jun 2020 kepada -3.5 peratus pada Julai 2020 bagi pertumbuhan tahun ke tahun, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata ini merupakan nilai jualan tertinggi sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan disebabkan oleh Covid-19.

“Semua subsektor terus menunjukkan pemulihan, didorong oleh kenderaan bermotor yang melonjak semula kepada 1.7 peratus berbanding Julai 2019 untuk merekodkan RM13.9 bilion.

“Perdagangan runcit turut berada di landasan pemulihan untuk mencatatkan -3.8 peratus daripada -9.2 peratus pada bulan sebelumnya.

“Perdagangan borong juga bertambah baik daripada -8.7 peratus pada Jun 2020 kepada -4.5 peratus pada Julai 2020,” katanya.

Beliau berkata pertumbuhan yang memberangsangkan ini adalah berikutan pengecualian cukai jualan yang diumumkan oleh kerajaan melalui Penjana.

Katanya, indeks jualan runcit dalam talian yang menggambarkan aktiviti e-dagang turut berkembang dengan merekodkan 34.7 peratus berbanding Julai 2019.

Dari segi indeks volum, Mohd Uzir berkata perdagangan borong dan runcit menyusut kepada -3.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

-BERNAMA


Pengarang :