Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada pengisytiharan Majlis Perbandaran Kuala Langat di Dewan Seri Jugra, Banting pada 9 September 2020 selepas diperkenankan DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Tempoh pemutihan kilang haram sehingga akhir tahun

BANTING, 9 SEPT: Semua kilang haram di negeri ini diberi tempoh sehingga hujung tahun untuk melaksanakan proses pemutihan dan penempatan semula premis.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari usaha yang dimulakan sejak 2008 bagi memastikan semua premis beroperasi secara sah serta mengikut peraturan ditetapkan.

“Saya sendiri akan mengetuai jawatankuasa (pemutihan kilang haram) berkenaan dan kita gabungkan teknologi pemantauan sungai serta Lembaga Urus Air Selangor sebagai agensi pemantau sumber air.

“Pada peringkat (majlis) perbandaran pula membabitkan pembersihan sungai atau pengosongan (tanah) rizab jika premis dibina tanpa kebenaran. Kita bagi masa sehingga hujung tahun untuk pulihkan (status),” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Amirudin turut menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang tidak mahu sumber air mentah dan loji rawatan dicemari bahan kimia serta sampah.

“Dalam tempoh dua bulan lalu kita berjaya halang lima potensi pencemaran sungai yang menyebabkan penutupan (bekalan) air. Cuma kali ini berlaku pencemaran bau yang tidak boleh dilihat dengan mata. Kalau pencemaran itu keluar warna biru atau buih, ia boleh dihalang di peringkat awal,” katanya.


Pengarang :