Anggota polis memantau Jalan Sultanah Bahiyah di hadapan Bangunan Penjara Alor Setar yang ditutup kepada kenderaan awam mulai 5 Oktober 2020. Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) secara Pentadbiran di Kawasan Penjara Alor Setar berkuatkuasa selama 14 hari bagi membendung penularan wabak Covid-19. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

1,126 kes aktif Covid-19 babit banduan, kakitangan penjara

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Sebanyak 1,126 kes aktif Covid-19 melibatkan banduan dan kakitangan penjara dicatatkan di seluruh negara, kata Ketua Pengarah Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar.

Beliau berkata penularan dalam kalangan banduan itu bermula di Penjara Tawau, Sabah apabila seorang banduan yang baharu diterima dari Lahad Datu disahkan positif Covid-19 pada 2 Oktober lepas.

“Kluster seterusnya pula dikesan di Penjara Alor Setar pada 29 September lepas dan Jabatan Penjara mengambil serius jumlah peningkatan kes positif Covid-19 di penjara itu, yang kini melibatkan jumlah terbesar dalam kalangan banduan di sebuah penjara.

“Berikutan itu, Jabatan Penjara mengambil segala langkah mengikut tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk merawat, kuarantin dan mencegah penularan wabak itu dalam segala aspek penugasan kakitangan serta penjagaan banduan di seluruh negara,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dalam sidang medianya petang semalam, berkata daripada 688 kes penularan dalam negara semalam sebanyak 394 kes dikesan daripada Kluster Tembok iaitu di Penjara Alor Setar. Negara semalam mencatatkan 691 kes baharu Covid-19.

Zulkifli berkata bagi memperketat SOP di penjara, beberapa langkah turut dilaksanakan melalui Perintah Tetap Komisioner Jeneral Penjara.

“Bagi mengurangkan tahap kebolehjangkitan Covid-19 dalam kalangan banduan serta mengurangkan kesesakan, Jabatan Penjara mengambil langkah tambahan dan drastik seperti pesalah kes dadah Seksen 15(1) Akta Dadah Berbahaya dikeluarkan dari penjara dan ditempatkan di beberapa kem Program Latihan Khidmat Negara yang diwartakan sebagai penjara sementara.

”Jumlah keseluruhan yang dapat ditampung kem-kem PLKN adalah disasarkan seramai 2,300 hingga 2,800 banduan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menyeru orang awam di luar penjara agar bertenang kerana penularan Covid-19 dalam kalangan banduan adalah dalam kawasan larangan yang tertutup dan dikawal ketat.

“Orang awam diminta memberikan keyakinan penuh terhadap langkah segera yang diambil pihak Jabatan Penjara di bawah kawal selia ketat daripada pihak KKM dan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :