Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Putrajaya pada 20 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

26 kluster: Kes naik mendadak sejak 28 September

SHAH ALAM, 20 OKT: Kes Covid-19 di Selangor meningkat mendadak sejak 28 September lalu, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ada 26 kluster aktif di negeri itu, 18 daripadanya melibatkan jangkitan tempatan dan bakinya berkaitan individu pulang dari Sabah.

Beliau menerangkan kes bertambah dengan banyak sejak akhir September berikutan kemasukan dan kepulangan individu dari Negeri di Bawah Bayu.

“Kluster pertama yang dilaporkan di Selangor dalam gelombang ketiga adalah Kluster Jalan Apas iaitu pada 28 September lalu di mana ia melibatkan keluarga yang pulang dari Sabah.

“Peningkatan kes penularan tempatan di dalam negeri mula dilihat pada 2 Oktober dan meningkat secara konsisten sehingga ke hari ini,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan maklumat berkaitan 26 kluster yang aktif di negeri berkenaan iaitu:

– 18 kluster melibatkan jangkitan tempatan dan lapan berkaitan pengembara pulang dari Sabah

– Enam kluster terbaru sejak 11 Oktober lalu berkaitan jangkitan tempatan

– Sembilan daripada 26 kluster ada kaitan rapat dengan jangkitan di tempat kerja

– Satu kluster dikaitkan dengan pusat beli-belah

Dr Noor Hisham menjelaskan situasi itu berlaku berikutan kepadatan penduduk dan kadar pergerakan tinggi dalam kalangan penduduk Selangor dan pengunjung negeri berkenaan.

Selangor hari ini mencatat pertambahan 132 kes positif. Jumlah keseluruhan terkumpul adalah 3,489 kes.


Pengarang :