Pengurusan kompleks beli-belah One Utama melaksanakan proses nyahkuman di Mac City yang ditutup selepas salah seorang pekerjanya dijangkiti Covid-19
AGENDANASIONAL

Pekerja asing di kawasan PKPB wajib jalani saringan Covid-19

SHAH ALAM, 20 OKT: Kerajaan mewajibkan pekerja asing di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menjalani saringan Covid-19.

Menteri kanan (keselamatan) berkata langkah tersebut susulan peningkatan kes baharu dalam kalangan warga asing terutama melibatkan kontak rapat pengawal keselamatan di Pusat Beli Belah One Utama, Bandar Utama.

“Kerajaan sebelum ini pernah mengarahkan pengawal keselamatan dan pekerja binaan disaring, jadi mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju saringan dilakukan semula kepada mereka di kawasan PKPB.

“Jika pihak majikan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), kos ujian pekerja asing akan ditanggung,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media hari ini.

Pada 14 Oktober Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Petaling berkata 16 pekerja pusat beli belah tersebut dan 44 pekerja keselamatan positif wabak hasil saringan terhadap 6,000 kakitangan.

Kerajaan pernah mengarahkan pengawal keselamatan warga asing menjalani saringan Covid-19 pada 8 Mei selepas mengesan kluster baharu melibatkan pekerja berkenaan di pusat beli-belah di Cheras.


Pengarang :