Bangunan pusat beli-belah 1 Utama ditutup selama 14 hari bermula 11 Oktober 2020 bagi proses saringan dan nyahkuman berikutan kes Covid-19 dikesan membabitkan pekerja dan pengunjung. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

63 kes positif babit Kluster Kompleks Beli-Belah One Utama

SHAH ALAM, 14 OKT: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Petaling memutuskan supaya pengurusan Kompleks Beli-Belah One Utama meneruskan saringan ke atas semua pekerja selepas 60 kakitangannya dikesan positif Covid-19.

Pegawai Daerah Johary Anuar berkata terdapat 63 kes positif melibatkan Kluster Kompleks Beli- Belah One Utama dengan 59 kes daripadanya di daerah Petaling dan baki empat kes di luar daerah.

“Pekerja yang positif akan dirawat di hospital dan kontak kepada pekerja positif perlu dikuarantin selama 14 hari serta menjalani saringan susulan sebelum diberi pelepasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan 16 pekerja pusat membeli belah dan 44 pekerja keselamatan positif wabak hasil saringan terhadap 6,000 kakitangan.

Pengerusi Jawatankuasa itu berkata pengurusan kompleks juga perlu memastikan syarikat keselamatan melantik pekerja baharu bukan terdiri daripada kontak rapat kes positif dan perlu menjalani saringan Covid-19 sebelum mula bekerja.

Menurut Johary seramai 110 pengunjung disaring hari ini selepas Kompleks Beli-Belah One Utama ditutup 14 hari bermula 11 Oktober lalu berikutan terdapat empat kes positif.

Pecahan kes Kluster Kompleks Beli-Belah One Utama:

1. Pekerja Pengurusan Kompleks : Satu

2. Pekerja kompleks : 15 kes (12 kes daerah Petaling + Tiga kes luar daerah)

3. Pekerja keselamatan : 44

4. Pengunjung : Tiga kes (Dua kes daerah Petaling + Satu kes luar daerah)

 


Pengarang :