Suhaimi Kamaralzaman (kanan) dan Ketua Operasi Air Selangor Ir Abas Abdullah menunjukkan air mentah tercemar dalam sidang media di LRA Sungai Semenyih pada 5 Oktober 2020. Foto ihsan Air Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Air Selangor sedia 64 lori tangki, 10 pili awam ke premis kritikal

SHAH ALAM, 5 OKT: Sebanyak 64 lori tangki air digerakkan ke premis kritikal, sekolah dan kawasan perumahan terjejas sejak pagi tadi susulan pencemaran Sungai Semenyih semalam.

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) turut menyediakan 14 tangki statik, tujuh stesen pengisian setempat, sembilan pusat khidmat setempat (PKS) dan 10 pili awam.

Ketua pegawai eksekutifnya dalam sidang media hari ini memandang serius isu yang menyebabkan dua loji rawatan air (LRA) dihenti tugas sekali gus mengganggu urusan harian pengguna.

“Air Selangor menyarankan pengguna untuk mengambil bekalan air bersih di pili awam kerana bantuan melalui lori tangki diutamakan kepada premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.

“Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat dan bantuan bekalan air bersih di PKS yang disediakan,” kata Suhaimi Kamaralzaman.

Beliau menjelaskan setakat jam 12.30 tengah hari, pencemaran di Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan berada pada tahap 18 TON (Nombor Bau Nilai Ambang). Sementara bacaan di muka sauk LRA Sungai Semenyih adalah 9 TON dan LRA Bukit Tampoi 8 TON.

Katanya, punca pencemaran masih belum dikenal pasti dan kedua-dua LRA hanya boleh beroperasi apabila punca pencemaran diselesaikan di semua aliran sungai.

“Henti tugas ini menyebabkan Air Selangor tidak dapat menghasilkan 602 juta liter air sehari untuk dibekalkan kepada 309,687 akaun pelanggan membabitkan 274 kawasan di wilayah Petaling, Hulu Langat, Putrajaya, Sepang dan Kuala Langat.

“Gangguan bekalan air tidak berjadual dijangka akan mengambil masa yang lama untuk pulih sepenuhnya kerana kedua-dua loji dihenti tugas selama 20 jam,” kata Suhaimi lagi.

Status terkini bekalan air boleh didapati melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com


Pengarang :