AGENDANASIONAL

Anwar: Hayati sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW, bukan sekadar sambutan

SHAH ALAM, 29 OKT: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak umat Islam untuk memaknai sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW dengan penuh tawadhuk dan keimanan yang mendalam supaya Maulidur Rasul tidak menjadi sekadar sambutan semata-mata.

Presiden KEADILAN berkata akhlak mulia dan falsafah besar yang dibawa Baginda wajar dijadikan panutan dan teladan buat umat manusia.

“Peringatan Maulud seharusnya menggugah nurani kita untuk sentiasa waspada akan tahap iman dan akidah yang mesti mantap dan teguh.

“Bertitik tolak dari ini, umat Islam mesti mempunyai kefahaman yang benar dan penghayatan yang mendalam bahawa sosok Rasulullah SAW adalah sosok perubahan dan misi Baginda itu ialah misi transformatif yang sentiasa mengembleng umat untuk menuntut keadilan dan perubahan,” kata ketua pembangkang yang turut memetik ayat ke-21 dalam surah Al-Ahzab dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan risalah pembaharuan juga bermaksud sentiasa teguh menentang segala bentuk kebobrokan, tegas melawan kezaliman dan memperkukuh benteng akidah.

Anwar berkata semua pihak perlu kekal bersemangat dan tidak berputus asa di saat menghadapi wabak Covid-19 ketika ini.

 


Pengarang :