AGENDAEKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia akhiri minggu ini ditutup bawah paras 1,510 mata

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Bursa Malaysia mengakhiri minggu ini di bawah paras 1,510, ditutup pada paras terendah harian semalam di tengah-tengah prestasi pasaran serantau yang bercampur-campur berikutan bilangan kes Covid-19 yang meningkat di seluruh dunia.

Peniaga berkata prestasi FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turut dipengaruhi oleh ketidaktentuan politik yang melanda negara ketika ini.

Pada 5 petang, indeks petunjuk pasaran itu ditutup 10.11 mata atau 0.67 peratus lebih rendah kepada 1,503.84 daripada 1,513.95 sewaktu ditutup semalam.

Barometer pasaran dibuka tinggi 5.38 mata kepada 1,519.33 dan bergerak antara 1,503.84 dan 1,520.31 sepanjang sesi dagangan.

Bagaimanapun, sentimen pasaran kekal positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi iaitu 583 berbanding 488, manakala 431 kaunter tidak berubah, 643 tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 8.70 bilion unit bernilai RM4.76 bilion daripada 6.29 bilion unit bernilai RM4.74 bilion semalam berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang mendorong penyertaan runcit apabila ramai pekerja bekerja dari rumah dalam tempoh ini.

Di peringkat serantau, Nikkei Jepun susut 0.41 peratus kepada 23,410.63 dan Indeks Komposit KOSPI Korea Selatan menguncup 0.83 peratus kepada 2,341.53, namun Indeks Hang Seng Hong Kong naik 0.94 peratus kepada 24,386.79.

Naib Presiden Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd Vincent Low berkata peserta runcit adalah yang paling ramai melabur dalam sektor teknologi dan penjagaan kesihatan seperti kaunter sarung tangan getah dan farmaseutikal akibat peningkatan semula kes Covid-19 di peringkat global.

“Di sebalik jualan di kaunter-kaunter berkaitan indeks, keseluruhan aktiviti dagangan di semua papan kekal rancak berikutan mudah tunai yang disuntik penggiat runcit semasa PKPB,” katanya kepada Bernama.

PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dikuatkuasakan bermula 14 hingga 27 Oktober ini, manakala di Sabah pada 13 hingga 26 Oktober.

Hampir dua pertiga daripada 30 konstituen FBM KLCI adalah rendah dengan Public Bank mendahului kerugian selepas turun 24 sen kepada RM15.86.

Petronas Chemicals susut 11 sen kepada RM5.86, Petronas Dagangan rendah 84 sen kepada RM18.98, Axiata susut sembilan sen kepada RM2.72 dan Maxis turun 10 sen kepada RM4.92.

Kaunter paling rugi termasuk Nestle merosot RM2.10 kepada RM139.40, manakala F&N turun 66 sen kepada RM31.74 dan PPB rendah 42 sen kepada RM19.08.

Mah Sing kekal sebagai kaunter paling aktif diniagakan di bursa, menokok 22 sen kepada 94.5 sen, diikuti AT Systematization yang naik 1.5 sen kepada 8.5 sen.

Luster Industries naik tiga sen kepada 17.5 sen dan Pegasus Heights tidak berubah pada 2.5 sen.

Southern Cable yang baharu disenaraikan di Pasaran ACE berada pada 33 sen, turun satu sen daripada harga tawaran awam permulaan pada 34 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 39.92 mata kepada 10,938.07, Indeks FBMT 100 susut 50.10 mata kepada 10,740.22 dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 32.65 mata kepada 13,140.61.

FBM 70 meningkat 17.57 mata kepada 14,571.71 dan FBM ACE naik 96.03 mata kepada 10,971.88.

Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 53.92 mata kepada 12,409.67, Indeks Perladangan turun 54.20 mata kepada 6,858.51 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.65 mata kepada 143.60.

Bagaimanapun Indeks Penjagaan Kesihatan naik 58.06 mata kepada 4,227.17.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 4.58 bilion saham bernilai RM3.71 bilion daripada 3.62 bilion saham bernilai RM3.46 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran menokok kepada 1.13 bilion unit bernilai RM249.27 juta daripada 905.30 juta unit bernilai RM214.06 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE naik kepada 2.98 bilion saham bernilai RM808.41 juta daripada 1.76 bilion saham bernilai RM1.06 bilion semalam.

Produk dan perkhidmatan pengguna merangkumi 886.94 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (779.80 juta), pembinaan (1.6 bilion), teknologi (232.46 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (33.87 juta), hartanah (1.35 bilion), perladangan (49.96 juta), REIT (9.01 juta), dana tertutup (2,400), tenaga (100.45 juta), penjagaan kesihatan (118.42 juta), telekomunikasi dan media (28.80 juta), pengangkutan dan logistik (75.74 juta) dan utiliti (33.05 juta).

-BERNAMA


Pengarang :