Petugas Kesihatan Selcare mencatat maklumat peribadi orang awam sebelum membuat ujian saringan Covid-19 di Klinik Selcare, Shah Alam pada 4 Oktober 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Covid-19: Patuh SOP, semak status terkini mukim – STFC

SHAH ALAM, 26 OKT: Masyarakat digesa patuh tatacara operasi piawai (SOP) susulan kes harian tertinggi direkodkan hari ini, kata Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Agensi tersebut memaklumkan sebanyak 109 kes baharu di negeri ini dikesan menerusi saringan kluster sedia ada, 34 kes saringan kontak rapat dan 33 kes saringan lapangan.

“Amalkan dan sentiasa berpesan kepada orang ramai tentang penjarakan fizikal, pakai pelitup muka serta basuh tangan secara kerap.

“STFC turut menyediakan info grafik kes baharu mengikut mukim di Selangor bagi tempoh 14 hari bermula 13 sehingga 26 Oktober,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Berdasarkan status terkini dikongsi STFC, mukim dikategorikan zon merah adalah Sungai Buloh dengan 279 kes, Kajang (166), Petaling (137), KLang (133), Damansara (119), Labu (94), Tanjung 12 (80), Kapar (49) dan Dengkil (44).

Selangor merekodkan angka harian Covid-19 tertinggi dengan 176 kes hari ini. Penularan wabak di Malaysia juga merekodkan angka tertinggi dengan 1,240 kes menjadikan jumlah keseluruhan 27,805 kes dengan 9,774 daripadanya kes aktif.

Pada 20 Oktober Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 26 kluster Covid-19 dikesan dalam tempoh tiga minggu di Selangor.

Kluster Jalan Apas Sabah adalah kluster pertama dikesan di negeri ini pada 28 September. Kluster lain antaranya Kluster Jalan Meru, Kluster Bah Puchong, Kluster Seri Setia, Kluster Jelok dan Kluster Seri Anggerik.


Pengarang :