Bangunan Majlis Bandaraya Subang Jaya pada 20 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Cukai taksiran MBSJ tahun ini kekal – datuk bandar

SHAH ALAM, 21 OKT: Cukai taksiran di kawasan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bagi tahun ini kekal meskipun dinaik taraf sebagai bandar raya mulai semalam.

Datuk bandarnya berkata bagaimanapun MBSJ kini sedang menilai semula cukai berkenaan dan nilai baharu itu akan diumumkan tahun depan.

“Kita perlu berpijak di bumi yang nyata bahawa kos kehidupan, perbelanjaan mengurus bandar itu semakin meningkat dan sentiasa meningkat.

“Bagaimanapun aras nilaian kita hari ini masih berpegang pada aras 1995 dan 1997,” kata Noraini Roslan ketika sidang media secara maya hari ini.

Beliau menjelaskan nilai baharu itu tidak akan dinaikkan melebihi 20 peratus dan cadangan berkenaan perlu mendapat kelulusan Kerajaan Negeri terlebih dahulu.

Noraini berkata cukai taksiran menyumbang sebanyak 72 peratus kepada pendapatan MBSJ sambil disokong kutipan sewa dan yuran pembangunan.

“Covid-19 menunjukkan kemerosotan kutipan hasil sewa selain kutipan tempat letak kereta dan dijangkakan pendapatan MBSJ tidak akan pulih begitu cepat tahun hadapan.

“Dua perkara yang kita perlu lakukan adalah meningkatkan kecekapan perbelanjaan dan memberi keutamaan kepada perkara yang lebih diperlukan masyarakat,” katanya.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mengisytihar dan menetapkan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sebagai bandar raya yang kini disebut sebagai MBSJ.


Pengarang :