EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han bercakap kepada media selepas Majlis Penyampaian Hadiah Kempen MyDebit bersama Smart Selangor di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pada 2 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Realisasi khidmat berbayar dalam talian 2022, permudahkan rakyat

BANGI, 3 OKT: Selangor berada di landasan tepat untuk merealisasikan perkhidmatan berbayar melibatkan Kerajaan Negeri dan agensinya dibuat secara dalam talian menjelang 2022.

EXCO kerajaan tempatan berkata negeri itu tekad melaksanakan pembangunan ekosistem digital bagi menyediakan mutu perkhidmatan terbaik, cekap dan telus untuk rakyat.

“Ekosistem digital berkait rapat dengan ekonomi digital yang menjadi agenda penting kepada Kerajaan Negeri yang dilihat berpotensi menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Namun kejayaan usaha ini sangat bergantung kepada kerjasama berterusan antara pemegang taruh, agensi, pihak berkuasa tempatan (PBT), sektor swasta dan masyarakat,” kata Ng Sze Han.

Belia ditemui media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Kempen MyDebit Bersama Smart Selangor di Smart Selangor Anjung Digital Universiti Kebangsaan Malaysia semalam.

Beliau berkata Kerajaan Negeri bekerjasama dengan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) bagi menambah baik sistem penyampaian PBT, terutama penggunaan teknologi terkini ke arah kehidupan lebih berkualiti.

Selangor memperkenalkan aplikasi transaksi tanpa tunai terbaharu ‘Citizen E-Payment Platform’ atau CEPat pada 1 Ogos 2019 dengan menyasarkan perkhidmatan berbayar Kerajaan Negeri dibuat menerusi sistem tersebut menjelang 2022.


Pengarang :