Rakaman gambar jentik-jentik ketika tinjauan berkenaan perkembangan demam denggi di sekitar ibu kota pada 5 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kes denggi Selangor turun lebih 30 peratus

SHAH ALAM, 27 OKT: Kes demam denggi negeri ini turun kepada 40,739 kes setakat 24 Oktober, berbanding 60,024 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengarah kesihatan negeri berkata keseluruhannya Selangor mencatat penurunan kes 32.1 peratus dengan 178 lokaliti wabak dikesan.

“Jumlah lokaliti aktif meliputi 11 kawasan titik panas, wabak terkawal (143), wabak tidak terkawal (15) dan wabak baharu (sembilan).

“Sebanyak 36 kematian direkodkan sehingga kini dengan penurunan 14 kes berbanding tempoh sama tahun lalu,” kata Dato’ Dr Sha’ari Ngadiman dalam kenyataan semalam.

Sementara itu, beliau menasihatkan penduduk supaya tidak leka dan sentiasa berjaga-jaga meskipun kes demam denggi kurang 500 bagi tempoh empat minggu berturut-turut.

Dr Sha’ari berkata penduduk perlu terus mengamalkan langkah pencegahan dengan melakukan pembersihan di premis masing-masing.

“Luangkan masa selama 10 minit dengan memastikan semua takungan air dibuang untuk mengelakkan pembiakan jentik-jentik,” katanya.


Pengarang :