RENCANA WAWANCARA

Avert Dose: Penyelamat pesakit strok dalam ‘tempoh keemasan’

Oleh Rafe’aton Mohd Ali & Soon Li Wei

(Artikel ini bersempena sambutan Hari Strok Sedunia 2020 pada Khamis, 29 Okt)

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Kebiasaannya, individu yang diserang penyakit strok (angin ahmar) akan menjadi kurang upaya atau setidak-tidaknya sukar bergerak dan terlantar sakit serta perlu dibantu untuk menjalani kehidupan harian.

Malah, strok sering dilihat sebagai penyakit yang jarang dapat dipulihkan dan lazimnya pesakit strok hilang upaya fungsi badan dan berpotensi menjadi lumpuh sebelah badan buat sepanjang hayat serta tidak dapat bertutur dengan baik selain muka menjadi herot.

Menariknya, perkara itu tidak terjadi kepada seorang pesakit strok warga emas Yee Yoke Har, 78, yang kini telah pulih sepenuhnya dan dapat menjalani kehidupan normal selepas mendapat rawatan dan proses rehabilitasi strok awal dengan segera di hospital.

Ia kerana Yee, yang menghidap darah tinggi telah mendapatkan rawatan penyelidikan klinikal pemulihan strok dikenali sebagai Avert Dose di Hospital Canselor Tunku Muhriz (HCTM), Cheras, dalam tempoh 48 jam selepas serangan strok ketika bersiap-siap untuk ke pasar pagi, Ogos lepas.

“Doktor memberitahu ibu bernasib baik kerana diberi rawatan dalam “tempoh keemasan” iaitu dalam tempoh empat jam setengah menggunakan ubat melarut darah beku.

“Jika tidak, keadaan ibu mungkin akan bertambah teruk dan boleh mengakibatkan koma,” kata anak perempuan Yee, Ivy Lee, 57, kepada Bernama baru-baru ini.

Seorang lagi pesakit, Mohd Razif Ab Mallek, 54, ketua pengawal keselamatan diserang strok pada pagi, 3 Ogos lepas, semasa berada di tempat kerja di Maxis Center Technology Park, Bukit Jalil.

“Serangan itu menyebabkan saya tiba-tiba rebah, mengalami kebas di tangan kiri, herot pada bahagian muka serta tidak boleh berjalan,” katanya yang menjalani rawatan rehabilatasi Avert Dose dengan segera semasa berada di wad Unit Rawatan Strok di HCTM.

“Selama lima hari dalam wad, rutin harian saya ialah melakukan senaman pemulihan (Avert Dose) oleh pakar Klinikal Fisioterapi seperti diajar untuk senaman mobiliti termasuk cara bangun, berdiri, duduk, mengubah kedudukan, menguatkan otot tangan dan berjalan serta bercakap (kerana terdapat gangguan saraf pada wajah saya).

“Alhamdulillah, syukur kini saya pulih hampir 96 peratus. Percakapan lancar seperti biasa, muka saya kembali normal, berjalan, berdiri juga tidak lagi memerlukan bantuan sesiapa,” katanya kepada Bernama sambil menzahirkan terima kasih kepada pasukan doktor pakar dan fisioterapi, jururawat unit strok HCTM yang merawat beliau.

“Rawatan dan rehabilitasi strok yang cepat, betul dan kerap memberi banyak manfaat dalam proses pemulihan saya sepanjang dirawat di HCTM,” katanya dan menambah bahawa beliau tidak pernah mengetahui yang beliau menghidap darah tinggi sebelum diserang strok tempoh hari.

Tempoh keemasan

Pakar Neurologis HTCM Dr Wan Asyraf Wan Zaidi berkata, antara golongan yang berisiko diserang penyakit strok adalah penghidap darah tinggi, terutamanya yang mempunyai bacaan tekanan darah melebihi bacaan sistolik 140 dan diastolik 90 selain pesakit yang mempunyai masalah jantung dan pesakit kronik lain seperti kencing manis.

“Bagi pesakit serangan jantung, tanda-tandanya seperti sakit dada dan kebas tangan. Malangnya, berbeza bagi pesakit strok, kerap kali tiada tanda-tanda awal dan ia akan menyerang pada bila-bila masa dan sesiapa sahaja,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya di sini, baru-baru ini.

Penyakit strok adalah situasi kecemasan yang terbahagi kepada dua iaitu 75 peratus akibat salur darah ke otak tersumbat manakala selebihnya (25 peratus) akibat salur darah pecah dan di Asia, kes strok kebanyakannya ialah saluran darah tersumbat.

“Serangan mengejut dan lewat mendapat rawatan berpotensi mengakibatkan lumpuh anggota badan secara kekal akibat penyempitan salur darah ke otak atau salur darah pecah akibat kekurangan bekalan oksigen sehingga boleh menyebabkan pesakit pengsan,” kata Dr Wan Asyraf yang juga Timbalan Presiden Majlis Strok Malaysia.

“Tetapi adalah tidak mustahil bagi seseorang pesakit strok boleh sembuh sepenuhnya jika mereka diberi rawatan dalam tempoh 4.5 jam selepas serangan yang kita sebut sebagai tempoh keemasan.

“Sekiranya pesakit itu dikejarkan ke hospital dan menerima rawatan dalam tempoh itu, keberangkalian untuk sembuh dan mampu mengelakkan daripada menjadi lumpuh adalah tinggi,” katanya.

Rawatan kepada pesakit strok akut pula, katanya, terbahagi kepada dua iaitu rawatan akut dan pemulihan bagi menghalang serangan berulang dan HCTM telah menyediakan kemudahan wad akut pesakit strok sejak 2013, yang komprehensif meliputi mobilasi pelbagai pakar termasuk pakar kecemasan, pakar radiologi, pakar bius, jururawat, paramedik, dan ahli fisioterapi.

“Pesakit juga akan diberi rawatan teknik ‘endovascular’ terkini bagi membuka saluran darah dengan memasukkan stent ke dalam salur darah di otak supaya darah beku dapat disedut keluar.

“Proses ini perlu dilakukan dengan cepat mungkin di hospital yang mempunyai kepakaran dan pasukan strok akan cuba sedaya upaya untuk membuka salur darah dalam tempoh kurang satu jam,” katanya dan menambah bahawa sebanyak 2 juta sel otak akan mati dalam tempoh seminit apabila salur darah tersumbat.

Namun, rawatan stent ini memerlukan kos tinggi iaitu kos minimum RM21,000 atau lebih, dilakukan bersama-sama pakar terlatih khusus pakar neurologis dan pakar radiologi interventional, sementara rawatan ubat hanya memerlukan kira-kira RM4,600.

“Adalah penting setiap individu menjaga kesihatan dengan mengamalkan gaya hidup sihat, tidak merokok, tidak minum alkohol, menjaga diet serta lebihkan makan sayur dan buah-buahan. Senaman 30 minit 5 kali seminggu juga dapat mencegah faktor risiko penyakit strok.

“Faktor risiko seperti degupan jantung tidak normal boleh mewujudkan masalah darah beku dalam jantung yang boleh menyebabkan penyumbatan saluran darah dalam otak yang menjadi punca penyakit strok,” katanya.

Kenal pasti simptom strok: Fast

Justeru, pemerhatian tanda-tanda awal serangan strok perlu diketahui dan kempen Fast iaitu (Face-muka, Arm-tangan, Speech-pertuturan dan Time-masa) perlu diberi kesedaran kepada masyarakat dan anggota keluarga tanpa mengira usia, terutamanya keluarga yang mempunyai sejarah pesakit kronik.

Dr Wan Asyraf berkata, untuk muka, lazim akan menjadi herot atau kebas, tangan terasa kebas, lemah dan berat dalam tempoh lebih dari 10 saat, tutur pula menjadi telor dan tak jelas atau langsung tidak boleh bercakap.

“Jika ada simptom itu segera hubungi talian kecemasan 999 untuk ambulans membawa pesakit ke hospital. Ada juga sebilangan pesakit cenderung mengalami penglihatan kabur atau hilang keseimbangan secara tiba-tiba,” katanya.

Data membimbangkan

Menurutnya lagi, data terbaharu pesakit strok di negara ini menunjukkan peningkatan kes dalam kalangan pesakit muda terutama lelaki berusia pertengahan 30-an sehingga 40-an.

“Strok bukan lagi penyakit orang tua kerana satu daripada empat dewasa di dunia boleh mendapat serangan strok,” tambah beliau.

Pesakit yang pernah diserang strok ringan juga berisiko tinggi untuk diserang buat kali kedua kerana mempunyai sejarah saluran darah tersumbat ataupun pecah.

“Walaupun pesakit berjaya diselamatkan, ia tidak bermakna mereka boleh menarik nafas lega dan alpa, selagi gaya hidup serta pemakanan tidak dijaga. Besar kemungkinan serangan akan berlaku buat kali kedua atau seterusnya,” katanya.

“Jadi pesakit yang pernah diserang angin ahmar perlu mendapat rawatan susulan daripada doktor secara berterusan,” katanya.

Avert Dose, pertama di Malaysia

Pakar Klinikal Fisioterapi Strok HCTM, Dr Katijjahbe Mohd Ali berkata, semakin cepat pesakit mendapat rawatan pemulihan, ia dapat mengurangkan kecacatan selepas strok.

Menurut Dr Katijjahbe, pesakit strok Yee dan Razif adalah antara enam pesakit strok yang melalui penyelidikan klinikal Avert Dose pertama di Malaysia yang dijalankan dengan kerjasama Florey Institute of Neuroscience and Mental Health di Melbourne, Australia diterajui di peringkat antarabangsa oleh Pengarah Penyelidik Avert Dose, Professor Julie Bernhardt dari Florey Institute of Neuroscience and Mental Health, Melbourne, Australia.

Mengulas lanjut mengenai penyelidikan itu, Prof Julie berkata ia bertujuan mengenal pasti amalan terbaik dalam mengurangkan kecacatan selepas mengalami strok. Empat terapi mobiliti berasaskan bukti saintifik akan diberikan oleh ahli fisioterapi dan jururawat kepada pesakit dalam tempoh beberapa awal selepas serangan strok.

“Hasil kajian daripada percubaan penyelidikan klinikal ini akan membolehkan pesakit baharu yang direkrut mendapat rawatan lebih baik sepanjang tempoh penyelidikan,” katanya yang dipetik dari laman web rasmi The Florey (florey.edu.au.).

Lebih 2,500 pesakit dari lebih 50 hospital di Malaysia, Australia, New Zealand, United Kingdom, Ireland, India, Taiwan dan Singapura akan mengambil bahagian dalam penyelidikan ini.

“Penyelidkan ini akan membantu kita menentukan rejimen paling berkesan dan selamat kepada pesakit berdasarkan tahap teruk strok iaitu dari ringan hingga sederhana, pada peringkat awal selepas diserang strok,” kata Prof Julie.

“Kami sangat gembira kerana HCTM sebagai rakan kolaborasi dalam projek ini, bagi pembentukan garis panduan untuk pemulihan pesakit strok di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, mengulas senario di Malaysia, Dr Katijjahbe berkata minimum 100 pesakit disasar direkrut mulai Julai lepas dan setakat ini, HCTM telah merekrut seramai enam pesakit strok yang mendapat rawatan di hospital itu.

“Kami melihat setiap hari bagaimana strok mempengaruhi kehidupan pesakit dan keluarga mereka, dan pasukan kami bersedia dan komited membantu mengurangkan beban pesakit strok walaupun kita berdepan dengan pandemik Covid-19.

”Penglibatan dengan rakan kolaborasi antarabangsa dalam kajian saintifik sebesar ini adalah peluang yang luar biasa untuk menyumbang kepada penyelidikan yang memberi impak besar dalam pemulihan strok di peringkat akut,” kata Dr Katijjahbe sambil menambah bahawa penyelidikan ini diharap dapat memberikan jawapan berkaitan jumlah dos (kekerapan, intensiti dan tempoh masa) yang optimal, selepas perawatan akut untuk pesakit strok.

Covid-19, PKPB dan impak kepada strok

Dr Katijjahbee berkata, dalam tempoh PKP, lebih 90 peratus pesakit strok tidak mendapat akses dari pasukan pemulihan strok dan ini satu cabaran dalam memberi perkhidmatan kesihatan.

Justeru, rancangan pemulihan segera dalam komuniti serta cara inovatif seperti program telerehabilitasi seharusnya dijadikan norma baharu.

“Namun, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), HCTM tetap menjalankan terapi terhadap pesakit strok dan pesakit luar Fisioterapi.

“Tiada istilah kerja dari rumah buat team kami pada masa ini. Kita mahu pesakit datang ke hospital untuk jalani pemulihan kerap selepas serangan sekurang-kurangnya dalam tempoh 3 hingga 6 bulan,” tambahnya.

Sementara itu, Dr Wan Asyraf berkata, pesakit strok harus mendapatkan rawatan segera jika boleh, dalam 60 minit pertama dari awal dan tidak seharusnya tinggal di rumah selama penularan pandemik dan sekiranya mereka mempunyai simptom.

“Walaupun wabak Covid-19, pasukan strok kami bersedia dan bermotivasi untuk memastikan perkhidmatan strok terbaik untuk pesakit kami.

“Penglibatan kami dengan penyelidikan berkualiti tinggi akan memberikan perawatan yang lebih baik dan menjadikan kami antara pusat strok komprehensif terbaik di rantau ini,” kata Dr Wan Asyraf.

– BERNAMA


Pengarang :