Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyampaikan statistik jangkitan pada sidang media berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 22 September 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM nafi data Covid-19 dimanipulasi – Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA, 26 OKT: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menafikan Kementerian Kesihatan (KKM) memanipulasikan data pandemik Covid-19 yang dilaporkan pihaknya.

Beliau berkata data Covid-19 dikumpulkan KKM sehingga 12 tengah hari setiap hari menggunakan sistem informasi maklumat kesihatan awam di setiap negeri.

”Ia bukan dilakukan oleh saya seorang tetapi bersama pasukan sebalik tabir dari hari pertama (kes Covid-19).

“Janganlah bila sifar (kes Covid-19) dicatatkan data itu diterima. Tetapi bila 1,000 kes dicatatkan ada pihak yang tidak terima data tersebut,” katanya menjawab soalan pemberita pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata perbincangan turut dilakukan dalam menentukan kluster sesuatu kes.

Malaysia hari ini mencatatkan 1,240 kes baharu positif Covid-19, angka tertinggi sejak pandemik itu bermula di negara ini.

Ini merupakan kali kedua Malaysia mencatatkan kes positif baharu mencecah empat angka selepas mencatatkan 1,228 kes baharu Sabtu lepas.

Sementara itu Dr Noor Hisham menjelaskan sidang media perkembangan Covid-19 dibatalkan pada saat akhir semalam kerana beliau diminta membentangkan situasi terkini kes Covid-19 pada Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang berlangsung di Istana Negara.

– BERNAMA


Pengarang :