BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Lebih 8,000 berminat tapi karnival kerjaya Selangor ditangguh

SHAH ALAM, 2 OKT: Seramai 8,150 individu berminat untuk menyertai karnival kerjaya Selangor Mega Job Fair 2020 pada Sabtu dan Ahad ini yang ditunda susulan peningkatan kes Covid-19.

Setakat semalam, sebanyak 13 kes baharu Covid-19 dicatatkan di negeri ini. Keseluruhannya, sejumlah 2,284 kes direkodkan.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman dalam kenyataan semalam berkata tarikh baharu program itu akan diumumkan kelak.

“Jumlah kes yang semakin meningkat sejak beberapa minggu lalu menimbulkan keresahan banyak pihak.

“Atas pandangan dan nasihat oleh Jabatan Kesihatan Negeri serta Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor, maka program Selangor Job Fair 2020 ditangguh ke satu tarikh yang akan ditentukan kelak,” katanya.

Siri pertama karnival itu sepatutnya berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 3 dan 4 Oktober ini dengan sasaran 15,000 pengunjung.


Pengarang :