Majlis Perbandaran Selayang (MPS)
PBTSELANGOR

MPS kutip cukai taksiran lebih RM79 juta setakat Ogos

SHAH ALAM, 2 OKT: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengutip cukai taksiran sebanyak RM79.85 juta setakat 31 Ogos iaitu 74.63 peratus daripada jumlah sepatutnya diperoleh iaitu RM107 juta.

Yang Dipertua Shamsul Sharil Badliza Mohd Noor juga berkata sebanyak RM4.13 juta tunggakan cukai itu berjaya dikutip iaitu 59.51 peratus daripada jumlah keseluruhan RM6.9 juta.

“Kita sudah melaksanakan rampasan sebanyak 485 bagi pemilik yang gagal menjelaskan bayaran cukai taksiran setelah tempoh waran tamat.

“Bagi pemilik masih mempunyai tunggakan, MPS mengeluarkan notis pada 1 September yang tamat kelmarin (30 September) dan tindakan waran tahanan RM100 dilaksanakan kepada pemilik sejak semalam,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau juga berkata pihaknya akan menghentikan penghantaran bil kertas kepada pemegang harta mulai tahun depan dalam usaha melestarikan alam sekitar.

Menurutnya, semua pemegang harta akan menerima bil pegangan masing-masing melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan e-mel.

“Bagi memastikan pemilik harta menerima (bil cukai taksiran), mereka diminta mengemaskini maklumat terkini seperti nombor telefon dan alamat e-mel dengan mengimbas kod QR atau layari laman sesawang MPS.

“Setakat ini, lebih 30,000 pegangan atau pemilik sudah mengemaskini maklumat peribadi akaun masing-masing,” katanya.


Pengarang :