Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor Mohamad Nizam Marjugi
AGENSISELANGOR

MSN Selangor: Susunan semula jadual tingkat kos latihan

SHAH ALAM, 20 OKT: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor menyusun semula jadual latihan atlet yang membuat persiapan ke Sukan Malaysia (Sukma) di Johor susulan pandemik Covid-19.

Pengarah eksekutifnya berkata langkah berkenaan menyebabkan kos latihan meningkat dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) turut memaksa atlet berlatih sendirian di rumah.

“Sukma tahun ini telah ditunda ke tahun hadapan menyebabkan semua program persediaan kontinjen Selangor terpaksa diatur semula.

“Ia menyaksikan kos meningkat kerana perlu menempuh norma baharu dengan latihan atlet juga melibatkan saringan Covid-19, penyediaan kelengkapan alat pencegahan dan proses sanitasi ke atas kemudahan,” kata Mohamad Nizam Marjugi ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan keutamaan kini memastikan atlet mengikut modul latihan serta mengelak kecederaan dengan mementingkan penjagaan pemakanan bagi mengekalkan kecergasan supaya beraksi cemerlang seterusnya mampu merealisasikan impian Selangor merangkul pingat emas pada temasya dwitahunan di Johor.

“Di kala situasi tidak menentu akibat pandemik Covid-19 ini cabaran besar menanti program sukan pada 2021. Kita berharap keadaan akan lebih baik selepas ini supaya industri sukan dapat diteruskan,” katanya.

Selangor menyasarkan kutipan 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa pada Sukma Johor yang dijadualkan semula pada 6 hingga 14 Mac tahun depan manakana Para Sukma bermula 5 hingga 10 April.


Pengarang :