Air Selangor merupakan pembekal tunggal perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pemulihan capai 83 peratus, 1,077 kawasan terima bekalan air

SHAH ALAM, 21 OKT: Sejumlah 1,077 atau 83 peratus dari 1,292 kawasan terjejas menerima bekalan air sepenuhnya setakat jam 6 pagi ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) Elina Baseri berkata baki 215 kawasan lagi dalam proses pemulihan.

“Pemulihan bekalan air di Hulu Selangor mencecah 100 peratus, Kuala Selangor (99 peratus), Petaling (94 peratus), Kuala Lumpur (89 peratus) dan Gombak (71 peratus).

“Sementara Klang/Shah Alam mencecah 54 peratus dan Kuala Langat 50 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan pengguna yang sudah menerima bekalan disaran membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan.

Tambahnya, bantuan bekalan air di pili awam dan pusat khidmat setempat masih disediakan untuk kemudahan pengguna yang terjejas.

Status terkini bekalan air boleh didapati melalui Twitter, Facebook dan Instagram Air Selangor serta laman sesawang www.airselangor.com

Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor pada 19 Oktober.


Pengarang :