Pelanggan menunggu giliran sebelum memasuki sebuah premis makanan di Sandakan, Sabah ketika tinjauan pada 7 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PKPB seluruh Sabah bermula tengah malam ini hingga 26 Okt

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di seluruh Sabah berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam ini sehingga 26 Oktober ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan mengambil kira peningkatan kes serta penularan yang berlaku di negeri itu.

“Dengan pelaksanaan PKPB ini, semua penduduk dikehendaki mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan. Antaranya, semua penduduk di kawasan terlibat tidak dibenarkan keluar dari rumah masing-masing.

“Bagaimanapun bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan,” katanya pada sidang media secara maya dari kediamannya menerusi Facebook Kementerian Pertahanan hari ini.

Dalam tempoh itu, Ismail Sabri berkata hanya dua orang dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan harian termasuk makanan.

-BERNAMA


Pengarang :