Anggota polis bantuan KTMB Siti Nabilla Isnariah Mohd Jonib (kanan) bersama rakannya Muhammad Amir Nor Asri (kiri) melakukan rondaan di sekitar platform menggunakan topi keledar pintar bagi mengesan suhu badan penumpang pada 14 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Polis bantuan KTMB guna topi keledar pintar imbas suhu badan

SHAH ALAM, 15 OKT: Polis bantuan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dilengkapi topi keledar pintar yang mampu mengesan suhu penumpang bagi mencegah penularan Covid-19.

Ketua komunikasi strategik KTMB berkata penggunaan peranti mencecah RM50,000 seunit bagi menambah baik tatacara operasi piawai (SOP) sedia ada, lapor Berita Harian.

Jelas Ahmad ‘Asri Khalbi, sebelum ini KTMB menggunakan pengimbas suhu automatik yang disediakan di stesen, selain cecair pembasmi kuman dan amalan sanitasi tren.

Anggota polis bantuan KTMB Siti Nabilla Isnariah Mohd Jonib melakukan rondaan di dalam gerabak dan sekitar platform tren menggunakan topi keledar pintar bagi mengesan suhu badan penumpang pada 14 Oktober 2020. Foto BERNAMA

“Buat masa ini, ini hanya ada dua unit (topi keledar pintar) dan ia masih lagi dalam tempoh percubaan selama dua minggu bermula Isnin lalu.

“Ketepatan teknologi pengimbas suhu topi keledar ini adalah 99.99 peratus dan mampu mengesan suhu badan penumpang dari jarak dua hingga tiga meter,” katanya.

Beliau berkata pelindung muka pada peranti tersebut akan memberi amaran jika ada penumpang dikesan melebihi suhu 38 darjah celsius.

“Diharap dengan kaedah dilaksanakan itu akan dapat meningkatkan keyakinan penumpang untuk menggunakan perkhidmatan KTMB,” kata Ahmad ‘Asri lagi.


Pengarang :