Pelitup muka diwajibkan di tempat awam bagi menangani penularan Covid-19. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sirim tawar khidmat pengujian, pensijilan pelitup muka

SHAH ALAM, 23 OKT: SIRIM Berhad (Sirim) melalui anak syarikatnya, SIRIM QAS International Sdn Bhd menyediakan perkhidmatan pengujian dan pensijilan bagi pelitup muka sama ada yang diimport atau keluaran tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS International, Mohd Azanuddin Salleh berkata pengujian dan pensijilan itu adalah bagi memastikan pelitup muka menepati standard ditetapkan sebagai jaminan kepada masyarakat bahawa kualiti produk itu dipelihara secara konsisten.

Menurut beliau, proses pengujian dan pemeriksaan pelitup muka berkenaan akan dilakukan di makmal Sirim di sini yang diakreditasi dengan kemudahan terkini.

“Pengujian dan pensijilan pelitup muka oleh SIRIM QAS International adalah mengikut standard antarabangsa BS EN 14683 untuk pelitup muka perubatan. Proses pengujian Sirim ini juga boleh digunakan untuk tiga jenis pelitup muka perubatan.

“Pertama, Jenis I yang digunakan untuk mengurangkan risiko penyebaran jangkitan semasa epidemik atau pandemik. Kedua, pelitup muka Jenis II yang digunakan oleh pakar perubatan dalam bilik bedah atau persekitaran perubatan yang mempunyai persamaan aplikasi dengan Jenis I dan Jenis IIR manakala ketiga adalah pelitup muka Jenis IIR, aplikasi sama digunakan seperti Jenis I dengan sifat tambahan Splash Resistance (R),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Azanuddin, bagi jenis pelitup muka bukan perubatan, pihaknya juga boleh menguji dan memperakui pelitup muka guna semula (kain) atau pelitup muka tiga lapis jenis pakai buang.

Katanya, proses pengujian itu merangkumi aspek Bacterial Filtration Efficiency (BFE); Differential Pressure; Splash Resistance Pressure (Synthetic Blood); dan Microbial Cleanliness (Bioburden).

“Pelitup muka yang menepati standard ditetapkan membolehkan pengilang dan pembekal membezakan produk mereka di pasaran, sekali gus mendapat permintaan daripada pengguna.

“Sirim terus komited untuk memupuk keyakinan rakyat Malaysia melalui perkhidmatan dipercayai. Dalam situasi yang mencabar ini, kami menjanjikan usaha bagi membangunkan negara ke arah masa depan yang lebih selamat,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :