Pengarah Urusan Smart Selangor Delivery Unit, Dr Fahmi Ngah.
AGENDAAGENSISELANGOR

SSDU sasar urus tadbir bandar pintar terbaik Asia Tenggara kali ketiga

SHAH ALAM, 23 OKT: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) menyasarkan pengiktirafan sebagai Agensi Urus Tadbir Bandar Pintar Terbaik Asia Tenggara untuk kali ketiga berturut-turut pada tahun depan.

Pengarah urusannya berkata agensi yakin mampu meraih anugerah itu sekali lagi berdasarkan pencapaian menambah baik ekosistem teknologi pintar dalam urusan pentadbiran Kerajaan Negeri dan masyarakat.

“Malah Selangor berada di landasan tepat untuk merealiasikan hasrat sebagai Negeri Pintar 2025 menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan atau sedang dibangunkan berasaskan teknologi pintar.

“Pada tahun depan, SSDU menyasarkan pencapaian melebihi 50 peratus bagi pelaksanaan inisiatif pintar merangkumi pelbagai aspek bagi memastikan negeri ini lebih produktif dan berdaya huni,” kata Dr Fahmi Ngah kepada SelangorKini hari ini.

SSDU diiktiraf sebagai Agensi Urus Tadbir Bandar Pintar Terbaik Asia Tenggara pada 2019 dan 2020 oleh perunding terkenal Global, Frost & Sullivan.

Pemilihan tersebut dibuat berdasarkan enam kriteria ditetapkan iaitu wawasan menjadi Bandar Pintar menjelang 2025, menangani keperluan yang belum berjaya dipenuhi, strategi lautan biru (amalan kelestarian), pelaksanaan amalan terbaik, pengalaman penduduk dan ekuiti jenama.

Agensi adalah anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri yang diberi mandat untuk menerajui pembangunan program Smart Selangor bagi merealisasikan Selangor Negeri Pintar menjelang 2025.

Usaha tersebut merangkumi lima perkara utama iaitu Kerajaan Pintar, Infrastruktur Pintar, Ekonomi Pintar, Masyarakat Pintar dan Persekitaran Pintar.


Pengarang :