Lori dengan muatan tangki air bersih akan diagihkan kepada penduduk terjejas mulai malam esok susulan henti tugas empat LRA pada 19 Okt 2020. Foto ADN Pandamaran
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Wakil rakyat gerakkan bekalan air bersih ke kawasan terjejas

SHAH ALAM, 19 OKT: Dua lori membawa muatan 1,000 gelen air bersih digerakkan ke kawasan terjejas sekitar Pandamaran, Klang mulai malam esok.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Leong Tuck Chee berkata bekalan diutamakan kepada penduduk yang tinggal di perumahan bertingkat.

“Hari ini kita jangka semua penduduk masih mempunyai bekalan air. Sebab itu kita akan mulakan penghantaran esok sekitar jam 7 malam.

“Penduduk yang kehabisan bekalan boleh berhubung dengan ketua kawasan masing-masing supaya penghantaran lebih lancar dan sistematik atau melalui Facebook DUN Pandamaran,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, ADN Kota Anggerik berkata pihaknya sudah menghubungi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) supaya bersedia menggerakkan bekalan air bersih kepada penduduk terjejas.

“Melalui pengalaman sebelum ini, cara ini lebih berkesan. Kawasan yang kehabisan bekalan akan terus menerima air selepas aduan dibuat,” kata Mohd Najwan Halimi.

Awal pagi tadi, pencemaran dikesan di Sungai Selangor hingga menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Sungai Selangor Fasa 2, Sungai Selangor Fasa 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas.

Susulan itu, lebih 1.1 juta akaun pengguna di 1,292 kawasan di wilayah Kuala Lumpur, Shah Alam/Klang, Kuala Langat, Petaling, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air.


Pengarang :