Selangorkini
Pelanggan dilihat mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan mengamalkan penjarakan fizikal antara satu sama lain ketika berurusan di kaunter ketika tinjauan mengenai penurunan harga emas sekitar ibu kota pada 30 November 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Berasak-asak beli emas, 23 individu dikompaun

KOTA BHARU, 30 NOV: Gara-gara ‘berasak-asak’ di kedai emas tanpa mengendahkan tatacara operasi piawai (SOP) yang perlu dipatuhi, polis Kelantan mengeluarkan 23 kompaun kepada pemilik dan pelanggan premis berkenaan semalam.

Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat berkata penurunan harga emas sejak minggu lepas menyebabkan banyak kedai emas menjadi tumpuan sehingga ada yang ‘bertolak-tolak’ kerana mahu membeli emas.

“Dalam keadaan seperti itu, sudah pasti ada pelanggan yang mengabaikan SOP seperti penjarakan fizikal. Pemilik premis juga gagal menyediakan peralatan lain seperti penyukat suhu kerana mungkin terlalu sibuk melayan pelanggan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata polis Kelantan kini memantau kira-kira 35 kedai emas di sekitar Kota Bharu bagi memastikan pemilik dan pelanggan mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini.

Shafien berkata langkah itu berikutan langkah keselamatan bagi mengekang penyebaran Covid-19 seperti penyediaan alat penyukat suhu, pensanitasi tangan, pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal dilihat kurang dititikberatkan.

Jelasnya, polis menyeru kepada masyarakat supaya mematuhi SOP supaya dapat memutuskan rantaian wabak itu secepat mungkin.

“Jikalau kita patuh kepada segala arahan…insya-Allah keadaan akan kembali pulih seperti sediakala. Setakat ini kita mengarahkan agar mereka (pemilik premis dan pelanggan) supaya mematuhi SOP dan polis akan sentiasa pantau.

“Namun, sekiranya mereka masih berdegil, polis akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan supaya tindakan menutup premis dilakukan,” katanya.

Pemilik premis sepatutnya meletakkan garisan atau tali bagi mendisiplinkan pelanggan supaya beratur sebelum memasuki premis.

“Polis tidak boleh ditempatkan sepanjang masa di sesebuah premis untuk memantau keadaan itu dan apa salahnya pemilik premis mengeluarkan sedikit modal bagi menyediakan khidmat anggota Rela.

“Kita sekarang hidup dalam norma baharu. Dahulu, apabila kita melihat orang memakai pelitup muka kita rasa pelik tetapi sekarang orang yang tidak memakai pelitup muka pula kita rasa pelik. Eloklah juga kita amalkan budaya tegur menegur supaya semua masyarakat mengamalkan SOP yang ditetapkan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :