Suasana di hadapan asrama pekerja wanita Top Glove Jalan Abadi 1A Meru, Klang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketika tinjauan sekitar jam 6.30 petang pada 16 November 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKPD asrama pekerja Top Glove dilanjut 14 hari

SHAH ALAM, 30 NOV: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja Top Glove, Klang yang dijadual berakhir hari ini dilanjutkan 14 hari lagi, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata saringan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati masih terdapat peningkatan kes positif Covid-19 dalam kalangan pekerja melalui saringan kedua.

“Sebanyak 3,406 kes positif dikesan daripada 5,805 saringan dijalankan terhadap pekerja manakala kes negatif masih berisiko mendapat jangkitan.

“Atas nasihat dan penilaian risiko, sidang khas bersetuju melanjutkan PKPD di asrama kilang Top Glove selama 14 hari bermula 1 hingga 14 Disember,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata semua pekerja diwajibkan menjalani saringan di klinik swasta dan dipantau Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang.

Menurutnya, pekerja bukan warganegara yang negatif ditempatkan di stesen kuarantin manakala rakyat tempatan menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

Ismail Sabri menjelaskan pekerja warganegara dikesan positif ditempatkan di pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah (PKRC) di asrama lelaki serta perempuan manakala warga asing di fasiliti kesihatan KKM.

Tambahnya, pekerja yang menjalani kuarantin tidak dibenarkan bekerja sehingga keputusan saringan ulangan negatif dan pelepasan perintah pengawasan dan pemerhatian (PUS) diberikan.


Pengarang :