Orang awam mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka semasa berada di tempat awam ketika tinjauan di sekitar Bandar Klang pada 15 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM pernah cadang PKP di Selangor 14 Okt, namun diganti PKPB

SHAH ALAM, 21 NOV: Kementerian Kesihatan (KKM) pernah mencadangkan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor pada 14 Oktober lalu susulan peningkatan kes Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata namun disebabkan 40 peratus sumber ekonomi berada di negeri berkenaan ia terpaksa ditukar kepada PKP Bersyarat (PKPB).

“Pada peringkat awal memang mencabar untuk menangani kes Covid-19 di Selangor. Oleh sebab itu pada 14 Oktober kita cadangkan PKP, tetapi kerana kosnya amat tinggi, ia ditukar kepada PKPB.

“Disebabkan itu, kami amat memerlukan kerjasama setiap individu, kalau boleh duduk di rumah bagi membolehkan wabak ini terus dikawal serta dicegah,” katanya menerusi taklimat khas Covid-19, hari ini.

Dr Noor Hisham turut menjelaskan pelaksanaan PKPB di beberapa buah negeri termasuk Selangor, Kelantan, Sabah dan Perak ketika ini tidak gagal.

Namun sebaliknya ia adalah pilihan terbaik bagi mengelakkan kes Covid-19 dari terus melonjak naik.

“Jika kita dapat kerjasama padu dari rakyat Malaysia dengan duduk di rumah sekali gus ia dapat mengurangkan pendedahan kepada ke positif.

“Marilah kita perangi Covid-19, ini adalah strategi dan pencegahan yang terbaik,” katanya.

 


Pengarang :