EXCO Kerajaan Negeri, Dr Siti Mariah Mahmud ketika sesi perbahasan dalam sidang Dewan Negeri Selangor pada 2 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Lebih 32 peratus pembuat keputusan Kerajaan Negeri adalah wanita

SHAH ALAM, 2 NOV: Sebanyak 32.9 peratus pembuat keputusan di peringkat pentadbiran Kerajaan Negeri melibatkan wanita, kata EXCO pembangunan wanita dan keluarga.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata jumlah itu membabitkan 132 pegawai wanita merangkumi ketua jabatan dan pegawai gred 48 dan ke atas.

“Sehingga 13 Oktober lalu, terdapat 401 pegawai di peringkat pembuat keputusan iaitu 269 daripadanya adalah lelaki dan 132 wanita,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Pada Mac tahun lalu, Dato’ Menteri Besar berkata Selangor adalah satu-satunya pentadbiran negeri yang mempunyai 30 peratus pembabitan wanita dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata agenda mengangkat martabat kaum hawa terus diterjemah melalui pelbagai program seperti Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), penubuhan Institut Wanita Berdaya (IWB) dan Pusat Wanita Berdaya (PWB) di setiap 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.

Beliau percaya peranan wanita tidak terbatas kepada aspek kekeluargaan sahaja, sebaliknya perlu menjadi pembuat keputusan dan pelaksana dasar dalam politik serta ekonomi.


Pengarang :