AGENDASUKANKINI

MFL rayu keputusan tangguh saingan Piala Malaysia 2020

SHAH ALAM, 10 NOV: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) merayu Majlis Keselamatan Negara (MKN) menimbang semula keputusan menangguhkan saingan Piala Malaysia 2020 berikutan pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Ab Ghani Hassan berkata rayuan diputuskan selepas mesyuarat khas ahli lembaga pengarah MFL hari ini dan disokong lapan pasukan yang layak ke suku akhir.

“MFL masih berharap agar MKN dapat pertimbangkan rayuan untuk meneruskan saingan TM Piala Malaysia musim ini dengan perancangan khas serta tatacara operasi piawai (SOP) yang lebih ketat termasuk mengadakan perlawanan secara berpusat iaitu ‘quarantine based’.

“Sebagai contoh pasukan yang layak ke peringkat suku akhir akan bermain di sebuah negeri sehingga ke peringkat separuh akhir dan seterusnya ke perlawanan akhir. Pasukan yang kalah pada perlawanan suku akhir dan separuh akhir akan meninggalkan negeri tersebut setelah tamat perlawanan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan pihaknya merancang meneruskan kejohanan menggunakan stadium di negeri berkecuali Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu Perlis, Pahang dan Kelantan.

Ab Ghani berkata penangguhan akan memberikan kesan kepada industri bola sepak negara termasuk kontrak pemain bersama pasukan yang bakal berakhir hujung bulan ini.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perlawanan Piala Malaysia 2020 ditangguhkan kerana sukan itu tetap berisiko walaupun diadakan tanpa penonton kerana melibatkan sentuhan dalam kalangan pemain.

Aksi suku akhir kejohanan bola sepak tertua di Asia dijadual berlangsung pada 12 dan 13 November ini selepas lapan pasukan mengesahkan tiket iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu FC, UiTM FC serta Perak.


Pengarang :