Pegawai Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyerahkan set tong kitar semula kepada wakil Balai Polis Bandar Baru Bangi pada 24 November 2020 sempena program Cabaran Perbandaran Rendah Karbon 2030 (LCC 2030 Challenge). Foto Facebook MPKj
PBTSELANGOR

MPKj bekal set tong kitar semula untuk agensi, sekolah

SHAH ALAM, 29 NOV: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) membekalkan sembilan set tong kitar semula kepada sembilan agensi dan sekolah terpilih pada 24 November lalu.

Yang Dipertuanya berkata ia sebagai tanda penghargaan kepada agensi terlibat bagi pelaksanaan program Cabaran Perbandaran Rendah Karbon 2030 (LCC 2030 Challenge) dan pembangunan mampan.

“Kita mahu meningkatkan kesedaran masyarakat melalui penerapan amalan nilai hijau sekali gus merealisasikan hasrat kerajaan mengurangkan kadar pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030,” kata Dato’ Zul-kefli @ Zulkefli Khalid kepada SelangorKini.

Agensi dan sekolah terbabit ialah Jabatan Pengangkutan Jalan cawangan Bangi, Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan, Balai Polis Bandar Baru Bangi, Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat, PKNS Andaman Development Sdn Bhd (Evo Mall), Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Tiga, SK Jalan Empat, SK Jalan Enam di Bandar Baru Bangi serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Tiga Bandar Baru Bangi.

Zul-kefli berkata MPKj dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat turut membekalkan kemudahan sama untuk lapan sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 19 November lalu.

Menurutnya, sekolah tersebut ialah SK Bandar Tasik Kesuma, SK Bandar Rinching, SK Semenyih, SK Bandar Teknologi Kajang, SMK Khir Johari, SMK Bandar Tasik Kesuma, SMK Bandar Rinching dan SMK Engku Husain.

“Program ini tidak melibatkan aktiviti berkumpulan dan upacara perasmian bagi mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19,” katanya.


Pengarang :