Setiap premis perniagaan wajib menyediakan kod QR aplikasi MySejahtera untuk diimbas pelanggan sebelum masuk ke kedai selain menyediakan alat penyukat suhu dan cecair pembasmi kuman bagi mencegah penularan Covid-19 ketika tinjauan pada 24 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pematuhan SOP penting untuk kawal Covid-19 – Dr Adham

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh majikan dan pekerja sektor keselamatan dan pembinaan sangat penting bagi mengawal peningkatan kes positif Covid-19 di Kuala Lumpur dan Selangor, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata keutamaan Kementerian Kesihatan buat masa ini adalah untuk mengasingkan semua kes-kes positif dalam kalangan pekerja supaya dapat memutuskan rantaian jangkitan.

“Trend ini, setakat yang kita lihat, masih lagi dalam kawalan dengan syarat kita kekal mematuhi pendekatan kawalan di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) untuk memutuskan rantaian jangkitan.

“Kegagalan mereka mematuhi SOP merupakan satu penilaian risiko yang sedang kami jalankan dan kami akan ambil tindakan pantas menerusi pendekatan kesihatan awam supaya pelaksanaan dan pematuhan SOP dalam memutuskan wabak bertambah baik,” katanya dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini.

Setakat semalam, sebanyak 1,210 kes baharu Covid-19 dilaporkan, menyaksikan Sabah mencatatkan jumlah tertinggi dengan 499 kes diikuti Selangor (259) dan Kuala Lumpur (238).

Semalam Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 162 kluster aktif Covid-19 yang dilaporkan, 72 kluster adalah berkaitan dengan tempat kerja termasuk di tapak pembinaan dan sektor keselamatan.

– BERNAMA


Pengarang :