Hanya peserta yang dijemput sahaja dibenarkan menghadiri sesi temu duga program Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Stadium Tertutup Kuala Selangor pada 15 November 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Hampir 7,000 kerja dalam jelajah di Sri Gombak, Saujana Utama 21-22 Nov

SHAH ALAM, 18 NOV: Sebanyak 6,567 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi Program Jelajah Selangor Bekerja di Gombak dan Paya Jaras pada hujung minggu ini.

EXCO pembangunan generasi muda berkata program tersebut diadakan di Dewan Taman Gombak pada Sabtu manakala Ahad di Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Saujana Utama.

“Sebanyak 18 syarikat menyertai program di Gombak yang menawarkan 3,260 kekosongan dengan 1,171 daripadanya jawatan untuk lepasan siswazah.

“Selain itu 1,240 pekerjaan turut menanti lepasan siswazah daripada keseluruhan 3,307 kekosongan yang ditawarkan 19 majikan pada program di Paya Jaras,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Mohd Khairuddin Othman berkata pemohon bakal menjalani temu duga secara bersemuka mengikut tatacara operasi piawai (SOP) atau secara dalam talian.

“Kerajaan Negeri sentiasa berusaha memastikan semua pencari kerja yang terjejas akibat Covid-19 mendapat pekerjaan lain,” katanya.

Ahad lalu, seramai 20 daripada 100 peserta yang menghadiri temuduga Program Jelajah Selangor Bekerja di Stadium Tertutup Kuala Selangor terus diterima bekerja.

Antara peluang pekerjaan ditawarkan adalah pensyarah, tutor al-Quran, pengurus jualan, pegawai penyelidik, juruteknik, operator pengeluaran, operator panggilan pemandu traktor terminal dan penjaga stor.

Program Jelajah Selangor Bekerja 2020 anjuran Kerajaan Negeri menerima 9,969 permohonan sejak pendaftaran dibuka pada 15 September.


Pengarang :