Selangorkini
BERITA UTAMA BUDAYA RENCANA

Pengaruh masyarakat India dalam kehidupan

Resapan tradisi

SEDAR atau tidak, kehidupan masyarakat Melayu di negara ini banyak berasimilasi dengan budaya lain hingga bersebati dengan utuh.

Dari adat, fesyen, makanan mahupun bahasa, pengaruh masyarakat India banyak menyerap dalam kehidupan harian masyarakat Melayu.

Adat melenggang perut yang masih popular di kampung misalnya banyak persamaan dengan Valaikappu, sebuah amalan penganut Hindu, meskipun ritualnya tidak sepenuhnya sama.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Yusmilayati Yunos berkata tujuannya sama iaitu supaya si ibu selamat melahirkan bayi yang sihat dan membuang nasib tidak baik.

Seperti Valaikappu, upacara melenggang perut turut membabitkan penggunaan beras, sirih pinang dan kelapa. Kedua-duanya mengadakan jamuan untuk tetamu.

Ada banyak lagi adat Melayu yang mirip amalan masyarakat India termasuk belah mulut yang juga disebut tahnik dalam kalangan masyarakat Melayu.

Berinai dan mandi bunga yang lazim dalam kalangan orang Melayu. Malah, bersanding, tepung tawar mahupun konsep raja sehari dalam perkahwinan dikatakan berasal dari tradisi India.

“Dipercayai inilah asal usul pasangan pengantin Melayu digelar raja sehari berikutan konsep Dewa Rama dan Dewi Sita,” katanya merujuk watak raja dan permaisuri yang menduduki takhta (pelamin) Kerajaan Ayutthaya mengikut Ramayana, kitab kepercayaan penganut Hindu sejak ribuan tahun.

Selain itu, banyak masakan masyarakat Melayu menggunakan sebahagian bahan dan resipi orang India. Paling popular, masakan kari, roti canai, tose atau capati dan kuah dal. Maruku juga sering jadi juadah Aidilfitri.

Pakaian tradisional masyarakat India juga semakin popular dalam kalangan wanita Melayu. Kain sari yang lazim dipakai orang India dijadikan baju kurung atau kebaya. Ia dipakai baik dalam majlis istimewa atau ke pejabat.

Bagi lelaki Melayu, kurta yang sinonim dengan orang India semakin diterima untuk digayakan pada hari raya dengan sedikit pengubahsuaian selari peredaran fesyen terutama kalangan anak muda.

Amalan perubatan tradisional orang Melayu juga ada pengaruh masyarakat India, misalnya daun semambu atau bambu digunakan bagi merawat demam campak.

Mengikut petua, pengidap demam campak boleh dirawat dengan memandikannya dengan air daun semambu yang dikisar dan dicampur bedak sejuk di seluruh badan. Selain itu, daun semambu juga dijadikan alas tidur pesakit demam campak. Petua sama juga diamalkan masyarakat India.

Selain itu, banyak masukan kata bahasa Melayu berasal daripada bahasa Tamil antaranya ‘kakak’ berasal perkataan ‘akka’, kedai (kadai), purba (purva), bumi (bhumi), suria (surya), raja dan tali.

Masyarakat majmuk

Dr Yusmilayati menganggap persamaan itu sedikit sebanyak mewarnakan lagi budaya dan gaya hidup masyarakat Malaysia.

“Tidak salah menerima budaya kaum lain lebih-lebih lagi dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia asalkan tidak bertentangan atau disesuaikan dengan kehendak Islam.

“Tidak kira apa kaum sekalipun, mereka menjadi sebahagian daripada kita dan pengaruh yang dibawa memainkan peranan mencorak gaya hidup masyarakat Malaysia hari ini,” katanya.

Setiausaha kehormat Malaysia Hindu Sangam Kebangsaan mengakui banyak amalan masyarakat Melayu mempunyai persamaan dengan kaum India tetapi berbeza dari sudut tertentu.

“Kalau kita lihat beberapa perkara yang dilakukan seperti bersanding dalam perkahwinan, amalan memakan sirih pinang dan penggunaan rempah dalam masakan sudah menjadi perkara biasa dalam masyarakat kita di Malaysia.

“Jika kita lihat kandungan amalan turut berbeza sebagai contoh belah mulut bayi yang baru lahir. Bagi masyarakat India, kami gunakan susu dan madu yang diletakkan di lidah bayi tetapi orang Melayu menggunakan kurma,” kata Genesan Thangavelu.

Dari sudut kesenian pula, beliau berkata kedua-dua masyarakat mempunyai pelbagai jenis tarian yang memiliki keunikan tersendiri dari segi gerakan dan muzik yang menghidupkan lagi persembahan.

Genesan berkata walaupun terdapat perbezaaan yang diamalkan dalam budaya kedua-dua kaum tetapi ia sebenarnya menunjukkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

“Keharmonian ini adalah kelebihan masyarakat yang ada di Malaysia. Walaupun ada perbezaan ia tidak menjejaskan kita untuk saling menghormati adat dan budaya kaum lain,” katanya.


Pengarang :