Kelapa sawit merupakan antara komoditi utama negara. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDAEKONOMINASIONAL

Niaga hadapan minyak sawit mentah dijangka tidak banyak berubah

KUALA LUMPUR, 15 NOV: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka tidak banyak berubah minggu depan dengan terdapat aktiviti pengambilan untung dan pembetulan teknikal.

Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura, Dr Sathia Varqa berkata harga niaga hadapan MSM meningkat dengan ketara kepada paras tertinggi dalam tempoh hampir sembilan tahun minggu lepas, disokong oleh asas, selain prestasi harga minyak kacang soya yang lebih baik di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT), Amerika Syarikat dan Bursa Komoditi Dalian, China.

“Berita positif mengenai vaksin Covid-19 turut menyokong pasaran,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, Sathia berkata pasaran turut mencari petunjuk baharu dan menunggu data prestasi eksport bagi November 2020 daripada penyelidik kargo.

Bagi minggu baru berakhir, harga MSM kebanyakannya tinggi, dipengaruhi oleh pengeluaran yang rendah dan harga minyak kacang soya yang lebih kukuh di CBOT.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, kontrak niaga hadapan MSM bagi November 2020 naik RM144 kepada RM3,549 satu tan, Disember 2020 meningkat RM158 kepada RM3,510 satu tan, Januari 2021 menambah RM199 kepada RM3,380 satu tan dan Februari 2021 naik RM204 kepada RM3,299 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 293,981 lot daripada 315,548 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka susut kepada 259,256 kontrak daripada 275,289 kontrak pada minggu lepas.

Di pasaran fizikal, November Selatan berada pada RM3,520 satu tan.

-BERNAMA

 


Pengarang :