Mohamad Hafiz Mohamad Nasir, 26, dinikahkan oleh bapa mentuanya Mohd Nasir Desa (kanan) di hadapan Pegawai Agama Daerah Kubang Pasu Syeikh Muzammil Yub (tengah) di Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu pada 3 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

PKPB: Upacara nikah kekal di pejabat agama seluruh negeri

SHAH ALAM, 29 NOV: Upacara akad nikah kekal dilangsungkan di pejabat agama Islam daerah (Paid) seluruh negeri sehingga ketetapan baharu dimaklumkan kelak.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata ketetapan dibuat berdasarkan perkembangan semasa Covid-19 termasuk pandangan agensi berkaitan.

Justeru, Mohd Shahzihan Ahmad meminta pasangan yang mahu disatukan supaya bersabar kerana peraturan baharu akan dilaksana secara berperingkat.

“Perkara ini melibatkan perbincangan banyak pihak dan Jais tidak boleh membuat keputusan sendiri. Bagaimanapun, sebarang keputusan akan dikuatkuasakan oleh Jais.

“Orang ramai juga jangan salah faham kerana sesetengah negeri pembuat keputusannya adalah jabatan mufti dan majlis agama,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Berkuat kuasa pertengahan bulan ini, jabatan itu membenarkan 20 upacara akad nikah berlangsung dalam tempoh sehari di pejabat agama seluruh Selangor mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

Upacara dalam dua sesi iaitu pagi dan petang dibenarkan dengan kehadiran tiga orang melibatkan pengantin lelaki, pengantin perempuan serta wali.

Kebenaran itu tertakluk kepada pasangan dalam Selangor dan pihak lelaki atau perempuan dari luar Selangor yang mendapat kebenaran rentas daerah atau negeri.


Pengarang :